Fungsi Mitos dan Lagenda
Penulisan Karya Agung Melayu mula ditulis selepas abad ke-15. Antara karya agung Melayu yang terkenal adalah Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan sebagainya. Namun, bagi entri kali ini kami telah memilih Sulalatus Salatin untuk mengkaji mitos dan lagenda yang terkandung di dalam karya agung ini. Eloklah kiranya sebelum kita berbincang dengan lebih mendalam, marilah kita fahami apakah yang dimaksudkan dengan mitos dan lagenda.
Ciri-ciri Mitos
Mitos
mempunyai perbezaan dengan legenda. Terdapat beberapa ciri yang dapat
dikenal pasti yang menunjukkan cerita tersebut adalah bersifat mitos.
Antaranya
ialah, cerita mitos dianggap sebagai cerita rekaan tetapi masyarakat
tradisional mempercayai yang cerita mitos itu benar-benar berlaku. Cerita mitos
dari segi isi dan tema, adalah dihubungkan dengan asal usul bermulanya sesuatu
kejadian, benda, binatang, manusia, asal usul nama tempat, asal usul keturunan
raja dan lain-lain lagi. Setiap asal usul itu dikaitkan dengan pelbagai
peristiwa dengan keadaan yang luar biasa tetapi dipercayai benar-benar berlaku
Cerita
mitos juga dikatakan sebagai sebuah naratif tradisional atau cerita lama yang
diperturunkan sejak zaman dahulu. Contohnya cerita dongeng, cerita
binatang, lawak jenaka dan lain-lain. Struktur cerita mitos kebiasaannya
berkaitan dengan pegangan dan kebudayaan. Menurut Hashim Awang (1985),
ciri-ciri cerita mitos ialah cerita yang mengisahkan tentang manusia atau
makhluk atau peristiwa luar biasa yang tidak rasional atau tidak dapat diterima
oleh akal manusia.
Bagi
masyarakat Melayu tradisional, cerita mitos adalah suci dan mulia serta
berlawanan kepada sifat duniawi. Cerita mitos adalah cerita tentang
dewa-dewi dari kayangan dan dipercayai ada kaitan dengan unsur keagamaan,
bersifat suci dan kudus. Banyak pantang larang dikenakan dalam hal mematuhi
cerita mitos. Masyarakat percaya bahawa mitos ini benar-benar
berlaku dan menjadikannya sebagai sistem kepercayaan yang tidak boleh dipersenda-sendakan.
Tambahan lagi, mereka menganggap masyarakat yang tidak mempercayai dan
melanggar pantang larang akan menerima balasan dan mala petaka. Namun begitu,
sesiapa yang percaya dengan mitos dan mematuhi pantang larang tersebut akan
mendapat kebaikan dan kurniaan.
Latar
masa bagi cerita mitos adalah pada zaman pra-sejarah iaitu zaman “animisme”.
Semua masyarakat Melayu lama percaya pada kepercayaan animisme. Hal ini
demikian kerana, masyarakat pada zaman dahulu masih terpengaruh dengan agama
Hindu walaupun sudah ada sebahagian masyarakat yang memeluk Islam dan agama
Islam sudah tersebar.
Latar
tempat cerita mitos merangkumi segenap penjuru alam sama ada di dunia luar, di
dunia kayangan atau di dasar. Latar tempat sejarah juga terdapat dalam
cerita mitos. Misalnya, mitos asal usul negeri Melaka sebagaimana yang
digambarkan dalam Sejarah Melayu mengambil latar tempat sejarah. Latar
tempat di dasar laut pula melalui mitos dinasti seperti yang digambarkan dalam
Sejarah Melayu iaitu seorang daripada anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain iaitu
Raja Suran yang memasuki dan melawat negeri bawah laut bernama Dika. Beliau
berkahwin dan mendapat tiga orang anak di negeri bawah laut itu. Anak-anak
bagindalah kemudiannya menjadi raja Palembang, Singapura dan akhirnya menjadi
raja negeri Melaka.
Selain
itu, mitos juga dapat dikenal pasti mengenai mitos tentang makhluk dengan tuhan
atau nabi. Sebagai contoh, dalam teks Sulalatus Salatin atau Sejarah
Melayu yang menceritakan tentang Merah Silu yang bermimpikan Rasulullah.
Di dalam mimpi tersebut Rasulullah menyuruh Merah Silu mengangakan
mulutnya lalu Baginda meludah ke dalamnya. Apabila Merah Silu terjaga
dari tidur, dia mendapati bahawa dia telah pandai membaca al-Quran.
Selain itu, dapat dilihat kisah perkahwinan anak Raja Kida Hindi, iaitu Puteri
Syahrul Bariyah dengan Raja Iskandar yang berwalikan Nabi Khidir. Sebelum
Puteri Syahrul Bariyah dikahwinkan dengan Raja Iskandar, Raja Kida Hindi
menyuruh Perdana Menteri bertanyakan Nabi Khidir tentang gerangan yang akan
dijodohkan dengan puterinya.
Tambahan
lagi, mitos yang mengaitkan dengan nabi dapat dilihat berdasarkan kisah
kedatangan Islam di Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar,
iaitu Sultan Muhammad Syah yang telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
melalui mimpi. Dalam mimpi itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar
mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya,
semua yang diimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut
berbau narawastu.
Watak-
watak dalam cerita mitos pula terdiri daripada Tuhan dan dewa-dewi sebagai
watak-watak bukan manusia. Dalam cerita mitos juga terdapat watak manusia dan
binatang. Beberapa contoh dapat dilihat di dalam teks Sejarah Melayu. Umpamanya
nama samudera-pasai berasal daripada semut besar. Nama ini diperoleh daripada
peristiwa seekor anjing bernama Si Pasai yang menyalak bukit kerana nampak
semut sebesar kucing. Selain itu, pembukaan nageri Melaka yang dikaitkan dengan
peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan anjing. Sempena
dengan peristiwa yang luar biasa ini maka Sultan Malikul Salleh membuka sebuah
negeri baru yang dinamakannya Samudera-Pasai. Melalui mitos nama tempat
ini, watak-watak yang terlibat melibatkan watak manusia dan bukan manusia iaitu
watak Malikul Salleh, anjing dan semut besar.
Ciri-ciri
lagenda
Isi dan tema cerita lagenda berkaitan dengan tokoh-tokoh terkenal yang dipercayai pernah hidup suatu ketika dahulu, dikaitkan dengan sifat kepahlawanan yang tiada tolok bandingnya, menjadi kebanggaan masyarakat setempat yang dianggap mempunyai keistimewaan dan bersifat kudusLegenda ialah cerita yang mengisahkan kebesaran dan keistimewaan seseorang tokoh yang diyakini kewujudannya oleh masyarakat.
Cerita
tersebut sering kali dibuat secara berlebih-lebihan dan melampaui kelaziman
yang biasa dimiliki oleh seseorang manusia. Cerita-cerita tentang tokoh lagenda
ini juga bercampur aduk antara unsur sejarah dengan unsur fantasi. Tokoh-tokoh
lagenda itu biasanya menjadi kemegahan dan kebanggaan sesuatu bangsa.
Tokoh-tokoh lagenda biasanya mempunyai ciri seperti memiliki rupa paras yang
kacak dan tampan, berperibadi mulia, dan bijaksana. Ketampanan, kemuliaan dan
kebijaksanaan mereka dikagumi dan disenangi setiap orang.
Selain
itu, ciri-ciri lagenda ialah watak dan perwatakan terdiri daripada golongan
yang disegani, watak ini biasanya memiliki ilmu kepahlawanan, cekap bermain
senjata, gagah dan perkasa serta berani. Kehebatan mereka selalunya tidak dapat
ditandingi oleh mana-mana pahlawan sekalipun. Mereka memiliki ilmu kesaktian
ataupun ilmu hikmat yang membantu mereka dalam apa-apa jua keadaan semasa
berjuang.
Mereka,
taat dan setia kepada keluarga dan raja. Ketaatan dan kesetiaan mereka begitu
luhur clan suci, mereka memiliki keistimewaan tertentu yang tiada pada manusia
biasa. Berdasarkan pada hakikat tersebut, dapat ditemukan perbezaan yang
ketara antara legenda dengan mitos.Legenda lebih berpijak di bumi nyata, yakni
tokoh yang dipusatkan 'lazimnya memang pernah hidup (diyakini kewujudannya) dan
tokoh itu banyak jasanya. Mereka disenangi dan menjadi sebut-sebutan (idola)
masyarakat dan lantaran itu, perwatakan mereka telah ditokok tambah oleh
masyarakat, malah sikap, pemikiran, dan tindakan mereka, dijadikan ikut-ikutan
oleh kelompok tertentu.
Seterusnya
ialah, latar tempat. Latar tempat berpusat kepada dunia nyata dan bukan dunia
kayangan. Terdapat tanda-tanda atau kesan sehingga sekarang yang dapat
dikaitkan dengan tokoh-tokoh legenda di negeri-negeri tertentu. Contohnya
perigi Hang Tuah di Melaka dan Makam Mahsuri di Langkawi, tempat ini dikatakan
benar-benar wujud sehingga kini. Antara cerita tentang Mahsuri ialah, cerita
tentang tuah anak yang dikandung isterinya bertambah hebat apabila suatu malam
, Pandak Maya terdengar suara ular itik (ular cinta Mani) berdekatan rumahnya.
Pandak
Maya berjaya menangkap dua ekor lalu dimasak untuk hidangan keluarga. Mengikut
kepercayaan orang tua, siapa yang memakan daging itik ini akan beroleh rezeki
yang melimpah. Jelaslah dari cerita di sekitar kehamilan Mak Andak Alang,
keluarganya sudah berlimpah rezeki. Ini suatu petanda bayi bakal lahir membawa
tuah. Apabila tiba masa, Mak Andak Alang melahirkan bayi perempuan yang comel,
dan dinamakan Mahsuri. Rezeki keluarga ini semakin bertambah apabila Pandak
Maya menjumpai batu kermian yang kemudiannya dijual kepada tauke Cina di Padang
Mat Sirat.
Mahsuri
membesar seperti gadis-gadis yang lain tetapi kecantikannya yang
membezakan. Kecantikannya menjadi buah
mulut orang di Langkawi. Cerita kecantikan ini menarik minat pembesar Langkawi
bergelar Dato Seri Kama Jaya untuk melihat sendiri wajah Mahsuri. Apabila
datang melawat Kampung Mawat, ternyata Dato Seri Kama Jaya pun turut terpikat
dengan kecantikan Mahsuri dan ingin menyunting sebagai isteri kedua.
Bagaimanapun hasratnya ditentang isteri bernama Mahura. Mahura dikatakan
seorang wanita yang pintar dan banyak membantu suaminya mentadbir Langkawi. Hal
ini menyebabkan Dato Seri Kama Jaya sukar untuk mengenepikan begitu sahaja
isterinya.
Sebelum
menghembus nafas terakhir, Mahsuri bersumpah-Langkawi tidak akan aman dan
makmur selama tujuh keturunan. Aneh kerana yang bersalah ibu mertuanya Mahura
dan bapa mertuanya Dato Seri Kama Jaya sahaja dan bukan seluruh Langkawi. Aneh
lagi kerana selepas itu sememangnya Langkawi diserang askar Siam. Mahura dan
Dato Seri Kama Jaya terbunuh. Ramai orang Langkawi ditawan dan dijadikan hamba.
Bagaimanapun orang Langkawi terus berjuang menentang penjajahan di bawah
pimpinan seorang lagi anak Dato Seri Kama Jaya iaitu Wan Mohd Ali.
Lagenda
Mahsuri terus dikenang dalam pengertian pengajarannya. Kini Makam Mahsuri telah
dibina begitu rupa sebagai kompleks sejarah dan budaya. Langkawi kembali makmur
sebagai bandaraya pelancongan. Sehingga kini tempat ini menjadi tempat pelancongan.
Fungsi Mitos
Menurut Hooykas (1965), mitos berfungsi untuk menceritakan tentang asal usul raja-raja. Asal usul raja-raja kerajaan Melayu tua ini kebiasaanya dihubungkan dengan objek-objek seperti buluh, buih dan mayang pinang.
Tujuan
utama gambaran tentang asal usul raja ini digembar gemburkan adalah untuk
meningkatkan taraf dan kedudukan raja. Hal ini kerana, dalam kisah-kisah yang
dipaparkan, raja-raja ini mempunyai keupayaan untuk berhubung secara langsung
dengan tokoh-tokoh jin, lembu dan Batala, tokoh mitos Puteri Mahtabu’l Bahri
dan Raja Aftabu’l Ardh serta pelbagai lagi tokoh dari dalam laut dan kayangan,
(Yusoff Iskandar, 1986)
Contohnya kisah berkenaan dengan Raja Suran,
yang merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain, yang dikatakan telah masuk ke
dalam laut. Dalam pengembaraan tersebut, baginda telah terjumpa sebuah negeri
yang didiami oleh kaum Bersam. Kaum di negeri Bersam ini terdiri daripada orang
kafir dan Islam. Raja Suran kemudiannya dikhabarkan berkkahwin dengan puteri
kerajaan tersebut iaitu, Puteri Mahtabu’l Bahri dan dikurniakan tiga orang
putera.
Raja
Suran kemudiannya pergi menemui raja jin iaitu Asmaghayah Peri untuk meminta
supaya dibuatkan tiga buah mahkota untuk puteranya. Mahkota itu menjadi lambang
kebesaran dan keturunan Iskandar Zulkarnain. Setelah itu, Raja Suran pun keluar
dari laut dan menuju ke udara dengan menunggang seekor kuda terbang yang
bernama Faras’ul Bahri.
Berdasarkan
kisah yang dipaprkan ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa pengarang cuba
untuk mengagung-agungkan kedudukan raja dengan menyelitkan pelbagai jenis
kebolehan dan keistimewaan baginda. Dalam cerita ini kebolehan dan keistimewaan
tersebut ditunjukkan menerusi keupayaan baginda untuk hidup di dalam laut dan
keluar dari laut dengan menungggang kuda terbang.
Seterusnya,
mitos berfungsi untuk menceritakan tentang asal usul sesuatu tempat. Mitos
berkenaan dengan asal usul sesuatu tempat ini kebiasaannya dikaitkan dengan
unsur-unsur binatang dan anasir-anasir alam seperti pokok kayu, buah-buahan,mayang
pinang dan lain-lain. Binatang yang dijadikan unsur mitos itu pula terdiri
daripada binatang yang luar biasa sifatnya, tangkas, besar, cerdik dan cantik
seperti singa, pelanduk, anjing dan semut besar, (Yusoff Iskandar, 1986).
Contoh ini
dapat dilihat dalam kisah bagaimana Singapura mendapat nama. Menurut Sejarah
Melayu, nama Singapura ini diambil daripada nama binatang, iaitu singa. Cerita
ini dikaitkan dengan kisah putera ketiga Sang Sapurba Taram Seri Tri Buana yang
terserempak dengan binatang ini sewaktu baginda pergi bermain-main di perairan
Bentan. Ketika itu, Sang Nila Utama bertanya kepada semua orang yang berada di
sekelilingnya berkenaan nama binatang yang dilihat. Namun tiada seorang pun
yang tahu. Akhirnya, Demang Lebar Daun menjawab pertanyaan tersebut sambil
menambah, tempat ini baik untuk dibuat negeri kerana mempunyai binatang yang
gagah. Lalu terbentuklah kerajaan Singapura yang mendapat nama dari singa,
manakala pura pula, merujuk kepada bandar dalam bahasa Sanskrit.
Mitos
juga turut dikaitkan dengan sejarah kemasukan agama Islam ke Melaka dan Pasai,
(Yusoff Iskandar, 1986). Tujuan utama mitos tentang pengislaman ini dibuat
adalah untuk membezakan cara rakyat dan raja memeluk Islam. Raja mempunyai cara
yang lebih istimewa dalam memeluk agama Islam berbanding rakyat jelata.
Pengislaman raja ini dikatakan berlaku secara langsung dari Mekah dalam mimpi.
Dalam mimpi tersebut, mereka bertemu dengan tokoh-tokoh Islam dan beberapa
orang wali yang mempunyai hubungan dengan penyebaran Islam di Melaka dan Pasai.
Keisitimewaan ini pula muncul berikutan sifat sosial dan politik raja itu yang
sememangnya mempunyai taraf yang tinggi dalam masyarakat. Menerusi mitos yang
ditampilkan ini, kita dapat mengetahui cara agama Islam berkembang di Melaka,
iaitu melalui raja. Seterusnya, pengislaman raja ini diikuti oleh pembesar dan
rakyat jelata.
Mitos
tentang kemasukan Islam ini dapat dilihat dalam kisah pengislaman Raja Kecil
Besar. Dalam Sejarah Melayu, Raja Kecil Besar dikatakan bermimpi bertemu dengan
Rasulullah S.A.W. Dalam mimpi tersebut, baginda telah diajar untuk mengucap dua
kalimah syahadah oleh Rasulullah S.A.W, seterusnya baginda juga diberitakan
mengenai namanya yang telah ditukar kepada Sultan Muhammad. Sebaik sahaja
baginda tersedar daripada mimpi, badan baginda dikatakan berbau wangi dan sudah
siap dikhatankan. Mulut baginda pula, lancar sahaja mengucapkan lafaz dua
kalimah syahadah.
Selain
itu, mitos juga turut dikaitkan dengan popular idea berhubung dengan sesuatu
peristiwa aneh dan ajaib yang berlaku, (Yusoff Iskandar, 1986). Peristiwa ini
dipercayai hanya dialami oleh raja ataupun dalam kalangan mereka yang mempunyai
hubungan yang rapat dengan istana. Antara contoh popular idea ini ialah
berkaitan dengan konsep daulat dan derhaka. Seorang raja dipercayai mempunyai
satu bentuk kepercayaan mistik, iaitu daulat. Menerusi kepercayaan ini, rakyat
dilarang daripada melanggar hak daulat yang dimiliki oleh raja tersebut.
Sekiranya larangan ini diingkari, dalam erti kata yang lain derhaka kepada
raja, orang tersebut akan menerima balasan yang buruk.
Antara contoh kisah yang berkenaan dengan
konsep daulat dan derhaka ini ialah kisah berkenaan dengan Sang Rajuna Tapa
yang bertukar menjadi batu. Sang Rajuna Tapa merupakan bendahara kepada Raja
Iskandar Syah, iaitu pemerintah Singapura. Sang Rajuna Tapa ditimpa daulat Raja
Iskandar Syah kerana belot kepada baginda dan bersubahat dengan Majapahit,
musuh Singapura. Akibat daripada tindakannya itu, Singapura telah kalah kerana
diserang Majapahit. Raja Iskandar Syah kemudiannya lari ke Melaka, manakala
Sang Rajuna Tapa dan isterinya bertukar menjadi batu sebaik sahaja Raja
Iskandar Syah melarikan diri ke Melaka. Batu itu dipercayai masih lagi wujud di
Singapura.
Disamping
itu, mitos juga digunakan sebagai dakyah untuk mengecam penyelewengan yang
selalunya dilakukan oleh raja, (Yusoff Iskandar, 1986). Penggunaan mitos
digunakan kerana kritikan secara terang-terangan atau langsung kepada raja,
boleh menyebabkan seseorang itu dilabel sebagai menderhaka dan boleh ditimpa
daulat raja. Jadi, kritikan ini hanya dapat disampaikan dalam bentuk penulisan.
Dalam Sejarah Melayu, kritikan ini disampaikan dalam bentuk mitos yang
pelbagai.
Contoh
mitos yang berfungsi sebagai kritikan ini dapat dilihat dalam kisah peminangan
Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Mahmud Syah. Puteri Gunung Ledang telah
meletakkan syarat-syarat yang sukar untuk dijadikan hantaran bagi meminang
dirinya. Kesemua syarat-syarat tersebut sanggup dipatuhi oleh baginda, walaupun
berat. Namun, apabila tiba kepada syarat yang melibatkan nyawa anakanda
baginda, baginda tidak sanggup untuk melakukannya. Hal ini jelas membuktikan
bahawa baginda seorang opportunist, (Yusoff Iskandar, 1986). Baginda sanggup
membiarkan rakyat terkorban dan menderita asalkan kemahuan baginda tercapai,
namun apabila kemahuan tersebut melibatkan kepentingan diri dan keluarganya,
baru lah baginda melupakan kemahuan baginda yang tinggi itu.
Fungsi Legenda
Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986), legenda merupakan kisah-kisah mengenai keperibadian dan keunggulan dalam peribadi yang dimiliki oleh tokoh-tokoh manusia tertentu, tokoh-tokoh yang berkemungkinan besar memang hidup dalam sejarah umpamanya. Seterusnya, tokoh-tokoh ini pula tidak sunyi daripada dikaitkan dengan tokoh-tokoh yang ada hubungannya dengan kekuatan politik dan agama.
Di
samping itu, keunggulan tokoh-tokoh ini sering dihubungkaitkan dengan
watak-watak istimewa dan supernatural seperti gagah, berani, kuat, pintar dan
bijak, mempunyai kebolehan dan kekuatan batin yang luar biasa serta sangat
terkenal dalam sejarah tempatan sesuatu masyarakat. Justeru, legenda
menjadi kebanggaan bahkan kerap diteladani oleh masyarakat setempat, lalu
menjadi milik seluruh masyarakat tersebut. Berdasarkan hal tersebut,
dapatlah diketahui bahawa legenda ini mempunyai fungsinya yang tersendiri.
Masyarakat
Melayu amat sinonim dengan konsep ‘tulah raja’. Barangsiapa yang
menderhaka kepada sultan atau raja, mereka akan mendapat hukuman atau terkena
‘tulah raja. Sehubungan dengan itu, antara fungsi legenda menurut Yusoff
Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163) adalah untuk memperkuat konsep
‘daulat’, ‘taat’ dan ‘derhaka’ dalam masyarakat Melayu.
Sesuai
dengan hal ini, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah telah diangkat menjadi model
atau simbol kepada ketiga-tiga konsep tersebut. Hal ini dapat dilihat
apabila ia sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri, iaitu Hang Jebat yang pada
pandangannya telah menderhaka kepada Sultan mereka, iaitu Sultan Mansur Syah sebagai
tanda taat dan setianya yang tidak berbelah bahagi kepada rajanya. Selain
itu, Hang Tuah juga sanggup mati untuk memenuhi kehendak sultan Melaka pada
ketika itu (Hasbullah Ibrahim dan Noor Aini Shaari, 1993). Beliau
diceritakan sanggup untuk masuk ke dalam kubur disebabkan sultannya yang ingin
mengetahui keadaan sebenar di dalam kubur.
Seterusnya,
legenda juga berfungsi untuk memuji serta menunjukkan kekuatan fizikal dan
mental orang-orang Melayu. Hal ini dapat digambarkan melalui
kebijaksanaan Sultan Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya. Baginda
bertindak menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa buah kuasa besar sebagai
langkah berjaga-jaga. Meskipun Siam pada ketika itu telah menyerang
Melaka sebanyak dua kali dan tewas, namun itu bukanlah bermakna mereka tidak
akan menyerang Melaka lagi. Maka, Sultan Mansur Syah telah membuat
keputusan untuk berbaik-baik dengan Siam.
Hal ini
tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan keamanan kerajaan Melaka. Berikut
merupakan petikan kata-kata baginda:
“Apa bicara tuan hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya kita beralangan selama ini; kita kelahi dengan dia pun tidak, dan berdamai pun tiada…” (Sulalatus Salatin, hlm. 107)
“Apa bicara tuan hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya kita beralangan selama ini; kita kelahi dengan dia pun tidak, dan berdamai pun tiada…” (Sulalatus Salatin, hlm. 107)
Hal
tersebut jelas menunjukkan kebijaksanaan Sultan Mansur Syah yang secara tidak
langsung telah mengangkat kehebatan orang Melayu. Tujuan tokoh ini
ditampilkan adalah untuk memuji ketangkasan mental dan fizikal orang-orang
Melayu, sebagaimana Sejarah Melayu dalam memetik kata-kata Betara Majapahit;
“Adapun orang Melayu ini terlalu cerdik daripada segala orang negeri lain; pada sebarang permainan pun tewas juga orang lain oleh orang Melaka”.
(Sulalatus Salatin, hlm. 22)
“Adapun orang Melayu ini terlalu cerdik daripada segala orang negeri lain; pada sebarang permainan pun tewas juga orang lain oleh orang Melaka”.
(Sulalatus Salatin, hlm. 22)
Selain
itu, legenda turut berfungsi menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap
agama Islam. Hal ini dapat dilihat daripada kisah Tok Senik di Beserah
yang merupakan seorang pemimpin agama telah bertindak membuka Pekan Beserah
setelah merantau dari satu tempat ke satu tempat di utara Semenanjung Tanah
Melayu (Aripin Said, 1996: 57).
Kisah ini
menunjukkan betapa pengaruh seorang pemimpin agama itu sangat memberi kesan
yang besar kepada orang di sekelilingnya. Hal ini demikian kerana, ketika
Tok Senik datang ke pekan tersebut yang pada asalnya masih belum mempunyai
nama, beliau terus mencadangkan nama Pekan Beserah kerana dikaitkan dengan
kehidupan seorang Islam yang sentiasa berserah kepada Allah dalam apa-apa jua
perkara. Kisah ini juga telah dibawa turun-temurun oleh rakyat tempatan
dan dipercayai ramai. Pada masa yang sama, perkara ini juga sebenarnya
mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu tokoh dan peristiwa
bercorak sejarah.
Selanjutnya,
legenda juga direka adalah untuk menonjolkan tokoh-tokoh legenda. Sebagai
contoh, watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah diceritakan
dan dilambangkan sebagai seorang yang sangat gagah perkasa. Sebagai buktinya,
dia dapat mengalahkan orang Jawa yang mengamuk dan kemudiannya dilantik menjadi
laksamana (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 162). Sehubungan
dengan itu, perihebatnya tokoh ini di mata masyarakat telah digambarkan dalam
Sejarah Melayu:
“Adapun
akan Laksamana Hang Tuah barang tempat ia pergi, gegak-gempita bunyi orang
daripada hebat melihat sikap lakunya. Jika ia peseban, peseban gempar;
jika ia di panggungan, panggungan gaduh dan segala perempuan Jawa anak-anak
dara, jikalau ia berjalan ke pasar atau barang ke mana, banyaklah yang gila
akan Hang Tuah itu. Dan apabila Hang Tuah lalu, perempuan di dalam pangkuan
lakinya itu pun bangun hendak melihat Hang Tuah; itulah dipantunkan Jawa…”
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan tokoh Hang Tuah itu sendiri sekaligus mengangkat watak tersebut.
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan tokoh Hang Tuah itu sendiri sekaligus mengangkat watak tersebut.
Fungsi
legenda yang seterusnya adalah untuk memberikan hak legalisasi terhadap
raja-raja yang berkenaan (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 163).
Berhubung dengan hal ini, perihal menghubungkan tokoh-tokoh bersejarah
dengan tokoh-tokoh legenda zaman dahulu sebenarnya bukanlah dibuat secara
kebetulan, sebaliknya ada kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk kepentingan
politik.
Keseluruhannya,
dapat dikatakan bahawa tokoh-tokoh sejarah yang dihubungkaitkan dengan
unsur-unsur legenda ini ialah raja-raja sendiri. Hal ini demikian kerana,
mereka berpendapat adalah menjadi haknya merajai sesebuah kerajaan kerana
keturunannya sendiri berasal daripada raja-raja, baik raja tersebut muncul
dalam bentuk mitos mahupun legenda.
Menurut
Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163), raja-raja ini berpendapat
mereka bukan daripada manusia biasa dan dijadikan daripada hukum akal dan
bersifat biologis.
Di
samping itu, legenda turut berfungsi untuk memperingati peristiwa penting yang
berlaku dalam masyarakat Melayu. Hal ini sangat penting bagi memastikan
kelestarian cerita-cerita terdahulu yang boleh dijadikan panduan buat generasi
terkemudian baik sebagai hiburan, pengetahuan mahupun peringatan. Hal ini
dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah yang mengisahkan pertarungan Hang Tuah
dan Hang Jebat. Kisah ini secara tidak langsung dapat membuatkan orang
ramai memperingati peristiwa tersebut dan dibawa turun-temurun dari generasi ke
generasi.
Akhir
sekali, legenda juga berfungsi menceritakan salasilah raja-raja. Hal ini
dapat dibuktikan melalui Hikayat Raja-raja Pasai, iaitu mengenai salasilah
Merah Silau atau Sultan Malikul Saleh, yakni nama baginda selepas memeluk
Islam. Pada awal hikayat ini ada disebutkan tentang salasilah Merah Silau
dari awal yang bermula daripada kisah Raja Ahmad dan Raja Muhammad yang
masing-masing menjumpai seorang kanak-kanak (Puteri Betung) daripada buluh
betung dan seorang lagi dijumpai bersama-sama dengan seekor gajah (Merah
Gajah). Setelah kedua-dua mereka membesar, mereka pun dikahwinkan dan
dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu Merah Silau dan Merah Hasum (Russell
Jones, 1997)
Secara umumnya, legenda-legenda ini sengaja
diwujudkan dengan tujuan-tujuan tertentu yang dihubungkan dengan seseorang
tokoh, raja, pahlawan, ulama dan sebagainya. Pelbagai sanjungan diberikan
kepada individu-individu tersebut. Di samping itu, sanjungan tersebut
pula lahir sesuai dengan fungsinya yang berfungsi memperbesar-besarkan taraf,
keturunan dan kedudukan raja yang disanjung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan